Bismillah
Alhamdulillah
Bulan Rejab kini telah melabuhkan
tirainya,
Bulan Syaaban kini di lalui,
Bulan Ramadhan al-Mubarak kini
semakin hampir.
Masih belum terlambat lagi
untuk kita menghayati peristiwa penting
yang berlaku ketika bulan Rejab iaitu peristiwa penting dalam calendar Islam
iaitu Isra’ Mikraj.
Masyarakat sekarang lebih
mengingati hari-hari dalam kalendar Masihi berbanding kalendar hijrah (Islam).
insyaAllah berkongsi sedikit hikmah
dari peristiwa Israk Mikraj. Moga ia memberikan kesedaran pada diri kita yang
masih diberikan kesempatan hidup di muka buni yang hanya sementara ini.
1. Manusia harus sentiasa mengadakan hubungan
dengan Allah, baik di kala ditimpa kesusahan mahupun di kala mendapat
kesenangan. Ini kerana hanya Allah yang berkuasa memberikan pertolongan,
menghilangkan segala kesedihan, dukacita dan kesusahan pada diri manusia.
Sebagaimana yang diceritakan, Nabi telah ditimpa beberapa musibah sebelum
terjadi Israk Mikraj. Dalam keadaan demikian, datang perintah untuk Israk
Mikraj, iaitu untuk berhadapan dengan Allah swt. Ini memberi pengajaran kepada
kita agar mendekatkan diri kepada Allah sewaktu didatangi musibah dan pelbagai
permasalahan dalam kehidupan. Caranya ialah dengan melaksanakan semua
perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya di samping terus meningkatkan
ketakwaan dan amal ibadat.
2. Menjauhi perkara mungkar dan maksiat.
Semasa Israk Mikraj, tepatnya sewaktu Nabi diajak meninjau keadaan neraka,
baginda ditunjukkan berbagai bentuk penyeksaan dahsyat yang sedang dialami oleh
berbagai kaum sebagai akibat daripada segala macam bentuk kejahatan yang pernah
mereka lakukan. Misalnya Nabi diperlihatkan kepada satu kaum yang memecahkan
sendiri kepala mereka dengan batu besar, setelah pecah ia kembali bertaut
seperti sediakala.
3.
Perintah solat sebagai suatu bentuk ibadah yang Allah sendiri menggariskan
ketentuan mengenainya. Kewajipan solat
berbeza dengan kewajipan yang lain seperti puasa, zakat dan haji. Ini adalah
kerana kewajipan solat diterima langsung oleh Nabi daripada Allah sewaktu
bertemu Allah pada malam Mikraj tanpa perantaraan malaikat Jibrail. Ini
menunjukkan keistimewaan dan kelebihan solat berbanding ibadah-ibadah lain, dan
solat juga amalan yang paling awal dihisab di akhirat kelak. Dengan solat, kita
berpeluang untuk berdialog langsung dengan Allah, iaitu ketika bersolat.
4. Mengakui dan tunduk kepada kebesaran Allah
sebagai pencipta agar keyakinan terhadap kekuasaan-Nya benar-benar bersemi
di jiwa manusia. Ini kerana sewaktu Israk Mikraj, Allah memperlihatkan kepada
Nabi akan keagungan dan berbagai keajaiban ciptaan-Nya yang terdapat di alam
tinggi bernama langit itu seperti Sidratul Muntaha, syurga dan lain-lain lagi.
5. Anjuran memberi salam. Di sepanjang perjalanan Mikraj, Nabi tidak
pernah lupa mengucapkan salam kepada rasul yang baginda temui. Ini mengingatkan
kita kepada keutamaan memberi salam dan galakan supaya selalu memberi salam
kepada saudara sesama Islam sebagai tanda penghormatan dan untuk mengeratkan
hubungan.
Israk Mikraj merupakan mukjizat yang tidak diberikan kepada nabi-nabi
yang lain. Justeru itu, Pelbagai pengajaran berharga yang terkandung di
dalamnya hendaklah direnung dan dihayati supaya ianya dapat membantu memberikan
nilai tambah dalam kehidupan, baik dalam usaha meningkatkan ketakwaan dan
prestasi ibadah kepada Allah mahupun untuk peningkatan ilmu pengetahuan,
terutama dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Firman Allah yang
bermaksud :
“Dan tidaklah Kami mengutus rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad),
selain dari kalangan orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu
bertanyalah kamu kepada orang yang berpengatahuan agama jika kamu tidak
mengetahui.”
No comments:
Post a Comment